Thursday 6 June 2013

Secalit Kisah Untuk Dikongsikan

Assalamualaikum, salam manis, salam ukhwah penuh kerahmatan....

Seuntai kata untuk diucapkan,..
Secebis rindu untuk dirasakan...
Sebaris cinta untuk diluahkan....
Secalit  kisah untuk dikongsikan...

Alhamdulillah Allah masih lagi memberikan nafas yang sangat bermakna kepadaku untuk berkongsi apakah sebenarnya yang aku rasakan dan aku lalui sejak akhir-akhir ini...penuh  kesedihan, penuh kepiluan, penuh drama yang tidak tertahan tetapi aku yakin pasti punyai sejuta rahmat yang tidak terbandingkan…..

Meniti kehidupan harian seperti biasa…memanglah satu putaran hidup yang tidak akan ada akhirnya melainkan pada masa yang ditentukan kelak…aku juga begitu..meneruskan apa yang telah aku mulakan dan pastinya akan aku akhiri dengan sesuatu yang membanggakan…walau bagaimanapun, tidak semua langkah yang disusun itu mampu ditempuhi dengan sejuta kejayaan…pasti ada sekelumit kesukaran yang datang menghambat kelancaran perjalanan….

Aku….manusia…hamba Allah yang Esa dan sentiasa takut akan diriNYa…pengalaman lepas telah banyak membantu aku menghadapi hari-hari mendatang…kadangkala situasi menjadikan aku seorang yang periang dan kadangkala kesuraman menyelubungi diriku…6 tahun dahulu aku telah disahkan mengidap batu karang di saluran buah pinggang dan sehingga kini aku masih menjalani rawatan susulan dan mengambil ubat-ubatan yang berkenaan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan…2 tahun lepas pula doctor telah dapat mengesan kehadiran batu karang pada buah pinggang kananku dalam kuantiti yang agak membimbangkan…dan susulan itu pengambilan ubat semakin ditingkatkan…ada sedikit kebimbangan juga bersarang dalam benakku….namun, hanya itu yang aku mampu lakukan selain hendak mengelakkan daripada melalui pembedahan… Alhamdulillah, lama-kelamaan keadaan buah pinggangku semakin membaik namun masih perlu terus berjaga-jaga….

Tarikh 24 Januari 2013, aku pergi semula ke klinik untuk membuat check up berkaitan keadaan buah pinggangku..Alhamdulillah kedua-duanya dalam keadaan baik…sudah tiada batu atau hablur pasir yang dikesan melalui scan...aku menarik nafas lega dan tersenyum…namun, tiba-tiba doctor mengarahkan aku untuk melihat pada skrin...wajah doctor penuh dengan seribu pertanyaan…apakah yang cuba ditunjukkan kepadaku…akhirnya mulutnya bersuara…dia mengesan ada ketumbuhan yang dipanggil polips pada pundi hempeduku….berderau darahku mendengarnya...terpalit seribu tanda Tanya apakah keadaan ini merbahaya, bagaimana ia boleh terjadi, apa yang perlu dilakukan dan macam-macam lagi…kerisauan sekali lagi menyelubungi diriku…di saat-saat akhir sebelum majlis pertunanganku yang berlangsung sehari selepas itu…


Penjelasan doctor sedikit merisaukan diriku…aku perlu menjalani check up sekerap mungkin untuk melihat kadar tumbesaran polips tersebut…mengikut penjelasan doctor dan pembacaanku dari sumber-sumber yang berlainan, polips sekiranya melebihi kadar 1cm boleh membahayakan sehingga mengakibatkan kanser…bagai tersentap hatiku mengingatkan perkara itu…oleh kerana kebimbangan yang berpanjangan, selesai majlis pertunanganku aku mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan di hospital pakar…

Pada permulaannya, aku menjalani scan keseluruhan untuk melihat keadaan pundi hempedu dan organ-organ lain…ketumbuhan polips itu kelihatan sudah mengeras dan sepatutnya aku merasa sakit dengan keadaan ini, namun aku menjelaskan kepada doctor bahawa aku jarang mengalami masalah atau kesakitan pada kawasan itu…dia mencadangkan aku untuk membuat pembedahan untuk membuang keseluruhan pundi hempedu supaya polips tidak terus membesar...ketumbuhan yang dikesan adalah bersaiz 0.6cm…


Seterusnya aku dirujuk kepada pakar bedah…melihat wajahku yang tegang dan penuh kerisauan, beliau menerangkan semula kepadaku tentang situasi tersebut dan meminta aku supaya jangan terlalu bimbang…masih ada masa dan penyelesaian sebelum apa-apa terjadi…aku cuba menenangkan diri mendengar setiap bait perkataan yang keluar dari mulut doctor itu…mengikut rekod, ketumbuhan polips itu telah awal dikesan pada tahun 2007 pada saiz 0.4cm dan kini membesar sebanyak 0.2cm kepada 0.6cm… pertumbuhannya lambat…doctor pakar bedah tidak mengesyorkan lagi untuk aku menjalani pembedahan tetapi tetap terus menjalani pemeriksaan berkala untuk melihat tumbesaran polips tersebut… 

Berulang kali beliau mengingatkanku supaya tidak terlalu risau... beliau memintaku menjaga pemakanan terutamanya mengelakkan makanan yang merangsang pertumbuhan polips tersebut…aku menghela sedikit nafas lega…pulang meneruskan kehidupan harian seperti biasa walaupun penuh kebimbangan dan kerisauan di dalam jiwa…inilah perkara yang sangat menghantui diriku…dalam masa aku berjaga-jaga untuk sakit batu karang, kini aku perlu beringat-ingat dengan ketumbuhan polips hempedu pula....

Bagaikan mimpi ngeri berulang untuk sekian kali…tetapi aku yakin padaNya yang menurunkan semua ujian ini untukku…aku berharap aku akan terus kuat menghadapi segala kesukaran berbekalkan doa dan semangat dari insan-insan yang aku sayang….Terima Kasih Untuk Segalanya…Aku bersyukur padaMU jua Ya Allah…

no more tears...
no more cry...
just build a new smile for a better life...